Saturday, March 21, 2009

SeKadAr ReNunGan UnTuK SeJeNaK..

Di antara berita paling memalukan kita ialah terdapat 48,100 orang graduan Melayu yang masih menganggur. Apakah punca sebenar maka terjadinya perkara sebegini? Jika diteliti punca utama ialah lemahnya kesedaran graduan universiti bahawa zaman ini bukanlah zaman yang menjanjikan pekerjaan kepada setiap orang yang keluar dari kilang pengajian tinggi itu.

Punca kedua ialah mereka mempunyai sikap negatif terhadap pekerjaan yang tidak selaras dengan kelulusan mereka. Pekerjaan yang tidak setaraf dengan ijazah yang mereka miliki. Bagi golongan ini ijazah tidak lebih satu komoditi yang boleh dijual beli dan ditentukan harganya. Jika ganjaran yang ditawarkan rendah mereka akan menolaknya di atas beberapa alasan yang mereka cipta sendiri. Mereka rela tidak bekerja dari menerima imbuhan yang tidak berbaloi dengan kelulusan mereka. Jadi mereka memilih untuk menganggur dari mengisi masa yang berharga dengan memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat.

Jika mereka masih berdegil dengan sikap buruk ini maka tidak apa yang dapat mereka lakukan selain dari mengeluh dan mengadu kepada orang lain betapa mereka gagal diberi peluang untuk menunjukkan kehebatan mereka di pentas dunia. Mereka akan menuding jari kepada orang lain dengan membuat tuduhan yang kurang berasas seperti seseorang itu akan mendapat pekerjaan jika orang itu mengenali orang lain yang berkuasa memberikan pekerjaan kepada orang itu.

Kita tidak menafikan perkara sebegitu ada berlaku tetapi berapa peratusannya? Jika semua orang mendapat pekerjaan kerana pertolongan `orang dalam' bayangkanlah apa akan terjadi. Tentulah pejabat itu akan penuh dengan pekerja dari kalangan saudara mara orang itu.

Para graduan harus berani menghadapi kenyataan bahawa hari ini orang bukan saja memandang kepada kelulusan akademik semata tetapi lebih jauh daripada itu. Pernahkah kita memeriksa diri sendiri dan melihat di mana kelemahan dan kekuatan diri kita. Jangan mudah berpuas hati dengan apa yang ada pada kita. Kita harus berani menimba ilmu yang diperlukan dalam alam pekerjaan.

Saya pernah mendengar seorang pakar pengurusan berkata yang kurang hanyalah jawatan tetapi bukan kerja. Jadi saya percaya yang dikejar oleh kebanyakan graduan Melayu ialah jawatan bukan kerja. Inilah punca pengangguran mereka. Jika mereka berusaha mencipta kerja, jawatan akan wujud secara automatik. Tapi sebaliknya jika mereka mengejar jawatan yang terhad penawarannya maka mereka akan kehilangan peluang untuk bekerja yang begitu luas bidangnya.

Mungkin mereka perlu lebih banyak membaca kerana di situ akan mereka temui orang-orang yang berjaya yang melakukan kerja di luar bidang mereka. Mereka mungkin tidak membaca berita seorang pakar bedah yang mengusahakan tanaman pisang, seorang jurutera yang mengusahakan ladang buah naga. Mereka perlu mendorong diri mereka sendiri kerana pihak kerajaan telah banyak memberi segala bantuan kepada mereka untuk keluar sebagai graduan.

Sudah tibalah masanya mereka keluar dari kepompong minda yang menyekat diri mereka sendiri dari menjadi seorang berjaya di dunia dan akhirat. Peganglah kata-kata Iqbal ini: Apa guna kita bermuram dan mengeluh kerana takdir. Kenapa kita tidak menjadi pencipta takdir itu sendiri.

No comments:

Post a Comment